Lyeanna Wana Official Blog lyeanna wana: Nur Solehah

Wednesday 1 April 2015

Nur Solehah

Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh. Okay, first of all this cerpen is dedicated to Nur Solehah bt what aku tak ingat nama bapak kau. HAHA sorry. Amaran keras sila jangan muntah. And thanks to all yang sumbang nama dalam cerita ni. Simply made in 1/4 night. ( I know orang akan cakap baik pergi tahajud. Fine, I'm goinglah ni) Enjoy, assalamualaikum. ^_^ (blushing2. malu ni hehe)


            Bunyi bising dari dapur membantutkan lena Nur Solehah. Telefon bimbit yang berada di atas meja bersebelahan dengan katilnya dicapai dalam keadaan yang masih mamai. Allah! Dah pukul 7.30! Bergegas dia ke bilik air dan segera membersihkan diri. Hatinya bermonolog sendirian, marah dengan kelewatannya bangun pada pagi itu. Ini semua gara-gara rancangan Running Man yang baru dimuat turun di komputer ribanya malam tadi. Usai menunaikan solat Subuh, entah kenapa matanya langsung tidak boleh terbuka lalu katil dipanjat untuk segera tenggelam dalam tidur yang lena.

“Ma…” lembut suara remaja berusia 18 tahun itu menyapa ibunya yang sedang sibuk menyediakan sarapan pagi. Bau sambal tumis menusuk hidung. Beberapa kali gadis itu terbersin seketika sebelum merangkul pinggang wanita separuh abad yang bergelar ibunya dari belakang.

“Hai anak dara lambat bangun hari ni?” Hajah Zahrah menoleh seketika ke belakang dan menguntumkan sebuah senyuman kepada Nur Solehah sebelum kembali memotong timun segar yang baru dibelinya di pasar raya malam tadi.

“Tidur lambat malam tadi” jawabnya lembut sebelum mencapai pisau dan mula mengupas bawang yang tersedia di atas meja. Jari-jemari runcing milik si gadis sudah semakin mahir dengan peralatan dapur itu walaupun sebelum ini jarang-jarang dirinya berpeluang menolong ibunya di dapur kerana sibuk dengan persekolahan. Hanya setelah tamat peperiksaan SPM inilah saban hari masanya dihabiskan untuk menolong ibu di dapur selain daripada melibatkan diri dalam kelas jahitan di pusat latihan kemahiran berdekatan.

  “Hmm jangan amalkan sangat tidur lambat-lambat ni. Tak elok. Nanti bangun pun lambat. Rezeki pun susah nak masuk” Tidak lupa tanggungjawabnya sebagai ibu untuk mendidik, sebait nasihat dititip Hajah Zahrah buat Nur Solehah.  Nur Solehah mengangguk-angguk tanda setuju dengan kata-kata ibunya itu.

“Assalamualaikum mamaku yang tersayang busuk-busuk!” tiba-tiba suatu suara kecil namun nyaring menerjah ke cuping telinga dua beranak yang sibuk di dapur. Nur Sofia mengucup pipi ibunya sebelum cuba mencuit sambal tumis yang sedang menggelegak di dalam kuali. Namun jari-jemari Hajah Zahrah lebih pantas menepis tangan anak sulungnya itu.

    “Waalaikumussalam. Duduk sana dulu. Sekejap lagi siaplah sambal ni. Tak menyempat betul budak seorang ni” omel Hajah Zahrah sambil terus mengacau sambal yang hampir siap.

  “Hehehe bau dia sedap sangatlah ma, tak sabar nak makan” jawab Sofia sambil menuang air Milo panas ke dalam sebuah mug. Sejurus selepas dihirupnya sekali minuman panas yang masih berwap itu, mangkuk berisi sambal tumis ikan bilis diletakkan di hadapannya bersama-sama dengan nasi dan timun. Matanya membulat, tidak sabar untuk merasa masakan itu.

    “Mmm, sedapnya ma! The best! Solehah, bolehlah mula belajar masak dengan mama sekarang. Tak lama lagi jadi isteri orang” Sofia begitu teruja menikmati sarapan sambil terus-terusan memuji nasi lemak masakan ibu kesayangannya itu.

    “Eh apa Along merepek ni. Lambat lagi okey” Solehah yang tidak menyangka kakaknya akan berkata sedemikian sempat menjeling ke arah gadis berusia 23 tahun itu.

    “Lambat apanya. Kalau dah ada tu tak payah nak lengah-lengahkan. Tak elok” giliran si kakak memberi nasihat. Solehah mengerutkan dahinya tanda tidak mengerti. ‘Apalah yang direpekkan Along ni’ bisik hati kecilnya.

    “Apa?! Kahwin? Mama apa ni? Solehah tak nak kahwin lagi” Terbuntang mata gadis berkulit hitam manis itu setelah mendengar penjelasan daripada ibunya. Otaknya ligat berfikir. Bagaikan baru dihempas tsunami, fikirannya hanyut dibawa arus deras air laut yang mengganas. Seganas kedengarannya berita yang disampaikan ibunya.

    “Apa salahnya nikah muda, sayang? Lelaki yang pilih Solehah itu pun datang dari keluarga yang baik-baik” tenang Hajah Zahrah cuba berkomunikasi dengan anaknya di meja makan.

    “Pedulilah soal lelaki, ma. Ini soal masa depan Solehah. Mama tahu sangat kan anak mama ini nak jadi doktor? Lama Solehah simpan cita-cita ini. Susah payah Solehah berusaha mencapainya mama” Solehah mula mengemukakan pandangannya. Hatinya memberontak kencang. Tidak setuju dengan tindakan ibunya yang cuba memujuknya untuk menerima pinangan itu.

    “Mama tahu sayang, tapi bukannya wanita tak boleh berjaya jika berkeluarga. Ramai sahabat-sahabat mama di Indonesia dahulu kahwin awal tapi tetap berjaya dalam kehidupan mereka. Besar gaji dan juga pangkat. Hidup selesa, bahagia sampai sekarang” Hajah Zahrah mencuba lagi untuk mencucuk jarum.

“Bukan gaji yang Solehah kejar ma, tapi tu…saudara-saudara seagama kita yang perlukan bantuan di luar sana. Bila bersuami nanti pergerakan Solehah terbatas. Solehah dah jadi tanggungjawab suami. Solehah juga bertanggungjawab ke atas suami. Sukar Solehah nak bantu mereka ma!” tegas Solehah menyatakan pendiriannya.

    Hatinya kesal. Kenapa mama boleh berfikiran begitu? Bukankah impian setiap ibu bapa melihat anak-anak mereka berjaya di dunia dan akhirat? Niatnya suci, ingin berjihad ke jalan Allah dengan menghulurkan bantuan seberapa boleh. Apalah sangat kudrat wanita sepertinya yang mampu disumbangkan jika bukan dengan cara ini? Ah! Solehah merengus perlahan.

    “Seteguh mana pun seorang wanita itu, dirinya tetap seorang wanita yang dijadikan Allah lemah, lembut dan mudah terjatuh. Saat itulah wanita perlu semangat untuk bangkit untuk kembali memperjuangkan matlamat dan misinya. Suamilah orang paling tepat untuk terus menyokong wanita dari belakang” ujar Hajah Zahrah lembut. Bibirnya bukannya sekadar berfalsafah mengikut telunjuk hati tapi gurunya iaitu pengalaman banyak mengajar erti kehidupan.

    Kenangannya berputar kembali pada zaman jatuh bangunnya badan dakwah yang diusahakan sejurus selepas tamat pengajian di Medan, Indonesia. Era itu masyarakat masih berfikiran sempit. Wanita masih takut-takut dan cuma hidup di bawah telunjuk suami. Setiap perintah dan larangan dituruti tanpa ada ruang untuk menyatakan pandangan. Isteri yang menegur itu dikatakan memandai-mandai. Sayangnya turut digelar isteri derhaka. Usahanya dikecam teruk orang sekeliling. Namun, suaminya Haji Jamaluddin teguh berdiri di belakangnya, tidak berganjak walau seketika, mata dan telinga sentiasa bersedia membantu isteri yang tercinta. Sempat Hajah Zahrah mengucap syukur ke hadrat Illahi atas kurniaan nikmat seorang suami yang begitu memahami dan serasi dengan dirinya.

    “Sia-sialah begitu kata-kata mama yang mendorong Solehah menjadi seorang wanita yang tabah, berani, cekal dan tidak mudah goyah dengan ujian dunia. Tiada erti wanita itu tabah jika dia masih memerlukan orang lain selain Allah dan RasulNya. Solehah yakin Solehah mampu merealisasikan matlamat Solehah tanpa seorang lelaki, mama. Keluarga sudah cukup buat Solehah” petah si gadis membangkang kata-kata ibunya. Pendiriannya tetap kukuh.

  Solehah teringat kembali memori tahun-tahun sepanjang berada di alam persekolahan. Manusia yang bernama lelaki begitu menyeganinya. Tunduk kepala mereka tatkala Solehah melintas di hadapan. Si pemidato hebat sangat tegas dengan hubungannya dengan lelaki. Tiada yang berani menghampirinya kecuali Hanan, sepupu lelakinya. Itu pun masih diletakkan jurang yang besar antara hubungan mereka berdua. Statusnya sebagai anak bongsu pengerusi Badan Dakwah Wanita Sri Petaling membuatnya sentiasa berhati-hati dengan pergaulan antara lelaki dan perempuan bukan muhrim. Tidak mahu nama mamanya tercalar atas kesilapannya. Lantang juga dia menyatakan cita-citanya untuk membantu saudara seagamanya di Palestin, bumi yang saban hari bergolak. Tak pernah lekang di bibirnya senyuman tatkala berbicara tentang usahanya untuk menjejakkan kaki ke sana.

    Dan sekarang, ibunya seperti cuba untuk memusnahkan apa yang diperjuangkan selama ini untuk membuktikan kemampuan wanita untuk berjaya tanpa lelaki. ‘Wanita juga boleh mengatasi lelaki. Ini dunia moden. Manusia sudah berfikiran matang. Matlamat wanita harus diperjuangkan. Biar setaraf darjat dan pangkat,’fikirnya.

    “Bukannya wanita yang bersuami itu tidak tabah, tidak cekal dan tidak mampu menahan ujian dunia, Solehah! Solehah, Solehah anak yang pintar. Setiap tindakan bukan diiringi kata-kata sahaja. Harus ada sebab dan rasionalnya tindakan itu dilakukan. Masakan Solehah ingin menolak seorang lelaki yang baik, beragama dan menyayangi Solehah? Yakinkah Solehah akan menemui seseorang yang serupa dengannya pada masa hadapan?” Hajah Zahrah mula geram dengan kata-kata anak gadisnya. Ternyata si bongsu ini keras kepala, terlalu dengan pendiriannya untuk menegakkan kemampuan wanita.

    Terdiam sebentar si gadis. Otaknya ligat menyusun kata dan fakta bagi mengukuhkan tindakan yang akan diambilnya kelak.

    “Kalau benarlah dia sayang Solehah, tak bolehkah lelaki itu tunggu Solehah sampai Solehah berjaya capai apa yang Solehah mahukan, mama?” mengendur nada yang diutarakan kali ini. Topik mula berubah ke arah si lelaki yang ingin menjadikannya makmum dalam solatnya nanti.

            Tiba-tiba telefon rumah berdering. Keluar seketika mereka dari perbincangan serius antara ibu dan anak itu. Laju Hajah Zahrah mengatur langkah menuju ke ruang tamu untuk menjawab panggilan telefon.

            “Solehah! Sini sekejap, sayang” tersentak Solehah apabila mendengar namanya dilaung dari hadapan. Langkahnya longlai tatkala berjalan menuju ke arah datangnya suara itu.

            “Sini, panjang umur lelaki tu. Baru dibincang pasalnya, dah telefon. Ada jodohlah tu. Ni, dia nak cakap dengan Solehah” Hajah Zahrah menghulurkan gagang telefon kepada anaknya sambil tersenyum manis. Cuba memujuk mungkin. Solehah mencebik. Berkerut-kerut mukanya. Gagang telefon yang dihulur belum dicapai. ‘Berani betul lelaki ni cuba bercakap dengan aku. Besar kemungkinan dia tidak kenal aku macam mana orangnya. Ada hati nak beristerikan aku, huh’ omelnya sendirian dalam hati sebelum mencapai gagang telefon dari tangan ibunya.

            “Assalamualaikum” lembut suara itu memberi salam. Seakan terkena renjatan elektrik, Solehah terkedu seketika. Tidak mampu berkata-kata. ‘Ish kenapa dengan aku ni?’ bisiknya dalam hati. ‘Suara dia…’

            “Wa..waalaikumussalam warahmatullah” akhirnya dia berjaya mengeluarkan suara untuk menjawab salam yang dihulurkan lelaki itu.

            “Solehah sihat?”

            “Alhamdulillah, sihat. Ada apa telefon?” Solehah menjawab dingin. Anak matanya dilirikkan ke arah ibunya yang setia di sisi. Ternyata riak muka Hajah Zahrah tidak menyukai nada suara yang digunakan. Solehah mengeluh perlahan.

            “Oh tak ada apa-apa. Cuma ingin bertanya khabar. Alhamdulillah, Solehah sihat” lelaki itu bersuara lagi.

            “Ya, thanks to Allah. So, you already knew I’m in extremely good condition and now what more do you want?” suaranya sedikit perlahan dan mula bersopan dengan si lelaki yang sedang bercakap dalam telefon.

            “Salam perkenalan? Khuatir kalau-kalau pinangan ditolak, kita masih boleh jadi kawan seperti dahulu”

            “Saya tak semudah itu nak dijadikan teman. Kita tak kenal antara satu sama lain and…what? What did you said just now? Kawan seperti dahulu? Dear mister, I bet you have got the wrong person. Saya tak ada kawan lelaki” nada suaranya mula mengeras seperti mula-mula.  Entah mengapa hatinya tiba-tiba panas.
            “Awak ada, dulu. Sebelum awak simpan cita-cita nak ke Palestin 5 tahun lalu” dengan yakin si lelaki berkata-kata. Solehah terkedu. Bagaimana dia boleh tahu benar akan cita-citanya? Perbualan dengan lelaki yang tidak dikenalinya mula menjadi semakin menarik.

“Macam mana awak tahu?” soal Solehah, meluru-luru rasa ingin tahu dalam hatinya.

            “Awak tiru saya” jawab lelaki itu disusuli gelak kecil.

            “S..siapa nama awak?” Jantung Solehah berdegup pantas. Siapakah lelaki yang datangnya dari masa lalunya? Lelaki ini kedengaran benar-benar mengenalinya.

            “Orang panggil Fahim” Satu hentakan seakan-akan dirasakan di atas kepala Solehah detik ini.

            “Aidil..Fahim?” terketar-ketar suara Solehah cuba menuturkan nama itu dari mulutnya.

            “Yup. I told you. You knew me, right?

            “Fahim, bagi saya tempoh 3 hari untuk jawab pinangan awak boleh?” Biarpun suaranya bergetar dan fikirannya bercelaru saat ini, Solehah lancar
membuat satu permintaan kepada lelaki yang bernama Aidil Fahim itu.

            “Ambillah tempoh selama mungkin yang awak perlukan. I guess you want the answer with some helps from a Great friend, aren’t you?” tenang lelaki itu memberi persetujuan.

            “You guessed well. Baiklah. Sampai bertemu lagi 3 hari. Assalamualaikum” perlahan-lahan Solehah mematikan panggilan. Entah mengapa hatinya tiba-tiba menjadi sebak.

            “Ma, Allah dah jawab doa Solehah selama ini” ujar Solehah tatkala berpaling ke arah ibunya yang masih lagi tersenyum di sisinya. Deras air matanya mengalir tak mampu ditahan. Panggilan itu tadi betul-betul mengubah pendiriannya dalam sekelip mata sahaja.

            “Kan Mama dah cakap. Cita-cita Solehah tak mungkin terbantut dengan berkahwin, sayang. Bahkan Allah permudahkan perjalanan Solehah dengan menjadikan sukarelawan yang dah lama berkhidmat di Palestin untuk dijodohkan dengan anak mama. Mulai malam ni, buatlah apa yang patut. Istikharah, mohon petunjuk dan pertolongan dari Allah tentang perkara ni. Mama dan Fahim tunggu lagi 3 hari” tenang dan lembut Hajah Zahrah berkata sambil memeluk erat gadis suntinya. Sempat dia berbisik dalam hatinya, tidak akan sesekali dia berasa menyesal menyerahkan tanggungjawabnya untuk menjaga Solehah kepada seorang lelaki yang sempurna buat anaknya biarpun gadis sunti itu masih mentah. Ditatap wajah Solehah yang masih basah dengan air mata. Pasti gembira benar anaknya apabila mengetahui siapa bakal suaminya nanti.

            “Ya Allah, aku terima takdirMu dan aku bersyukur dengan ketentuanMu” ucapnya perlahan sambil terus mengusap ubun Nur Solehah. 

Komen dan LIKE anda sangat dihargai

0 comments: