"Damia! Tunggu sekejap" Hisyam memanggil dari belakang. Damia berpusing dan memandang Hisyam dengan pandangan hairan. Hisyam sedang berlari ke arahnya sambil tersenyum girang, seperti selalu.
"Nah. Simpan ni. Ada duit dalam ni. Buka kat asrama, baru kira. Pastikan kau seorang diri saja waktu kira duit ni tau" Hisyam menghulurkan sehelai sampul surat yang didakwa mengandungi duit kepada Damia. Damia menyambutnya walaupun teragak-agak pada mulanya.
"Apasal muka kau macam takut-takut saja ni?" Hisyam bersuara lagi.
"Tadi, kau yang marah Haziqa kan?" Damia menyoal dengan lembut agar tidak menimbulkan kemarahan Hisyam. Respon yang diberikan Hisyam sangat mengejutkan Damia. Hisyam cuma ketawa besar.
"Ya. Aku. Apasal? Tak pernah tengok aku marah ya?" soal Hisyam sebaik sahaja ketawanya reda.
"Tentulah! takut aku tengok kau macam tu. Lupakan, duit ni untuk apa?" ujar Damia sambil cuba mengintai isi kandungan sampul surat itu.
"Duit ni, erm..ah! Duit yuran Kelab Kebudayaan. Kau peganglah dulu. Aku takut hilang" kata Hisyam, cuba untuk menutup kerisauan di hati Damia.
"Oh okey. Ah, aku nak balik asrama ni. Kau nampak Aina tak? Kata nak balik dengan aku tadi" Damia mengangguk sambil melilaukan pandangannya kalau-kalau ternampak kelibat Aina.
"Tak nampak pula. Aku pun nak balik dah ni. Minta diri dulu ya, bye. Jangan lupa baca, eh kira duit tu tau. Aku kira semalam ada RM120. Pastikan cukup" ujar Hisyam dan segera berlalu dengan senyuman bermakna.
Dalam masa yang sama, Aina yang bersendirian di bangku yang terletak di tepi dewan masih menunggu Damia. Tersengguk-sengguk kepalanya menanti Damia yang masih tak kunjung tiba. Tiba-tiba sepasang kaki muncul entah dari mana di hadapan Aina. Aina terkejut lantas segera mengangkat mukanya. Dalam pandangan matanya yang masih kabur, sebuah senyuman manis muncul. 'Aku kenal senyuman tu!' teriaknya dalam hati. Matanya segera digosok-gosok agar pandangannya kembali terang.
"Nua?" soalnya sepatah, mengharapkan balasan.
"Ya. Aina tak balik lagi?" jawab Anuar lalu duduk bertinggung di hadapan Aina. Sebotol air mineral di tangannya dihulurkan kepada Aina. Aina memandang hairan. Anuar segera mengisyaratkan Aina supaya mengambil air ditangannya. Aina menundukkan pandangan dan menurut.
"Terima kasih. Belum, Aina tunggu kak Mia" balasnya lalu meneguk air mineral yang diberi. Sememangnya tekaknya terlalu kering dan sangat mengharap Damia tiba dengan membawa air untuknya.
"Sama-sama" jawabnya sepatah sambil terus merenung muka Aina tanpa henti.
"Apa tengok-tengok?" marah Aina sebaik sahaja menyedari perbuatan Anuar lalu segera mengalih pandangannya.
"Nua perasan muka Aina makin cengkung lah. Mesti penat sebab latihan teater ni kan?" ujar Nua, turut mengalih pandangan. Pipinya mula kelihatan kemerah-merahan.
"Eh? Yakah? Aina dulu bulat ya? Eh, Nua kenal Aina sebelum ni?" terpamer reaksi terkejut di raut muka Aina lalu segera mencari-cari cermin dalam beg sandangnya.
"Eh..erm, tak. Bukan macam tu. Nua balik dululah" Anuar yang terkejut dengan soalan Aina segera cuba untuk melarikan diri daripada Aina sebelum gadis yang dalam sifat ingin tahu itu bertanyakan lebih banyak soalan kepadanya.
"Nua! Jangan cuba lari" segera Aina menghalang jalan Aina dan merampas begnya agar lelaki itu tidak dapat melarikan diri.
"Bagilah balik beg Nua tu Aina" pinta Anuar, separuh merayu.
"Tak nak. Eh, kenapa dengan tangan Nua tu?" soal Aina sebaik terpandang parut yang kelihatan masih baru di tangan kirinya.
"Tak ada apa apa" ujar Anuar dan segera menyembunyikan tangannya. Di kesempatan itu, Anuar segera memanfaatkan peluangnya untuk merampas semula begnya daripada Aina yang asyik cuba melihat tangan Anuar. Sepantas kilat motornya dicapai dan segera meninggalkan kawasan sekolah. Aina terpinga-pinga dengan kejadian yang baru terjadi. Otaknya masih belum mampu memproses maklumat gara-gara perkara yang terjadi sebentar tadi berlaku dengan sangat pantas.
"Aina, kat sini rupanya dia. Puas akak cari. Aina tengok apa tu?" tiba-tiba suara Damia menyapa dari belakang.
"Aina tengok..hurm, tak apalah. Jom balik." ujar Aina dan segera mengajak Damia untuk pulang ke asrama. Di kepalanya masih berselubung seribu persoalan. Perlakuan Anuar tadi begitu pelik di pandangannya. Aina memutuskan untuk melupakan sahaja kejadian tadi agar fikirannya tidak berserabut. Sekarang, hanya satu sahaja perkara yang menjadi misi utamanya, tilam di asrama yang empuk. Dia ingin segera melelapkan mata dan merehatkan tubuhnya yang keletihan.
0 comments:
Post a Comment