Lyeanna Wana Official Blog lyeanna wana: Jendela Hati (Part Akhir)

Wednesday, 1 April 2015

Jendela Hati (Part Akhir)

Suasana di dalam bilik Kelab Kebudayaan sangat meriah dengan kehadiran para pelakon yang meraikan jamuan pada hari itu. Bingit. Masing-masing sibuk bercerita dan bergurau senda sesama sendiri. Perkenalan yang bermula sebulan lalu mewujudkan hubungan akrab sesama kru teater. Samada guru, rakan sekelas malahan junior dan senior-semuanya gembira dengan persahabatan yang terjalin. Di suatu sudut, Aina sedang sendirian terduduk kepenatan setelah bertungkus-lumus pada waktu petang menyiapkan segala persiapan untuk jamuan pada malam itu. Dan pada saat itu juga, sepotong kek yang berada dalam mangkuk polistrin dihulurkan kepada Aina. Aina mendongak. Damia tersenyum. Aina membalas senyuman dan bergerak sedikit untuk memberikan ruang kepada Damia untuk duduk. 

"Terima kasih" ucap Aina sepatah sambil merasa secubit kek coklat itu.

"Aina..tak nak ceritakan apa-apa kat akak?" soal Damia, memulakan perbualan.

"Huh? Oh..pasal malam tadi. Sorry kak. Urgent. Kena minta diri cepat" Aina memberi alasan, bukannya tidak mahu menceritakan hal sebenar tapi belum masanya lagi.

"Akak faham. Tapi akak tak setujulah Aina bawa handphone kat asrama. Kan tak boleh. Balik minggu ni bagi mak simpan. Jangan bawa dah. Akak tak nak subahat bila Aina tertangkap nanti" Damia menasihati juniornya itu dengan lembut. Aina membisu sambil bermain-main dengan kek coklat tadi. Seleranya tiba-tiba mati di situ.

"Okey. Sorry. Aina janji tak bawa dah" tiba-tiba Aina bersuara dengan nada serius. Damia tersentak. Gembira dengan janji Aina, Damia melemparkan senyuman.

"Sebenarnya akak datang ni, nak bagi benda ni" ujar Damia sambil menghulurkan sekeping sampul surat. Aina mencapai dengan pandangan hairan. Damia mengisyaratkan Aina supaya terus membacanya di situ. Aina mengangguk setuju. Dibukanya sampul surat yang berbau wangi itu dan membaca isi kandungannya satu-persatu.

Ke hadapan Nur Aina yang manis,
Semoga sihat dan ceria selalu..

Pertama sekali, Nua ingin memohon kemaafan daripada Aina kerana telah menyembunyikan identiti Nua dalam tempoh masa yang agak lama. Maaf, Nua belum bersedia. Keduanya, Nua ucapkan tahniah sekali lagi kepada Aina kerana berjaya membongkar identiti Nua. Sejujurnya, dengan cara yang sama jugalah Nua mula mengenali Aina. Nua selalu akan duduk di tepi tingkap sambil memandang ke arah tingkap bilik Aina sambil mencari-cari dirimu. Raut wajah manis Aina yang berdiri di sebalik jendela begitu mendamaikan. Seperti Aina juga yang begitu menikmati bayu malam tatkala Aina kepenatan atau bosan sambil tersenyum lebar.  Dari situ Nua dapat rasa Aina seorang yang menarik untuk didekati.

Alhamdulillah, Allah membuka jalan untuk Nua lebih mengenali Aina. Tak sangka perbuatan nakal Hisyam yang terus saja meletakkan nama Nua dalam senarai pelakon yang diedarkan Cikgu Azim menemukan Nua dengan Aina. Setiap kali latihan, Nua cuba untuk menyembunyikan perasaan bahagia Nua apabila melihat Aina senang dengan perangai Nua yang gila-gila ni. Walaupun kita tak jarang bertegur. Sorry, Nua masih tak jumpa cara nak hilangkan perangai ni. :) Tapi apapun, Nua tabik cara Aina menahan diri Aina. Nua tahu Ainalah orang pertama yang akan menonton Nua setiap kali Nua mula berlakon. Tapi Nua sembunyikan semua tu..Aina mesti tak dapat agak kan?

Aina, Nua pinta izinkan Nua terus menatap wajah Aina setiap kali bulan bersinar agar hari-hari mendebarkan sebelum Nua menduduki SPM bermakna dan berseri. Nua hanya ingin pinta itu saja selagi Aina belum menjadi yang halal untuk Nua. Itu saja coretan Nua. Nua harap kita masih berhubung lagi seperti dulu. 

Salam 
Anuar Adi

Aina melipat surat itu dan dimasukkan ke dalam sampulnya semula. Damia dan Aina berpandangan.

"Tak sangka Anuar yang gila-gila tu boleh tulis surat macam ni" ujar Damia sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

"Tahu takpe. Lain betul dengan perangainya atas pentas selama ini" Aina mengiakan sambil melontarkan pandangan ke arah orang ramai yang berada di hadapan mereka.

"Hah? Maksud Aina? Oh..jadi selama ini memang Aina ada intai-intai Anuar ya,? Amboi, marah konon bila dia sorokkan kasut Aina. Rupanya dalam hati ada taman" usik Damia lantas membuatkan pipi Aina bertukar kemerah-merahan. Malu dia diusik sebegitu.

"Akak nampak rupanya. Ish, mana ada. Aina cuma suka tengok perangai gila-gila dia atas pentas. Kadang-kadang mengalahkan Hisyam! Hihi..ah, sebelum terlupa. Nah," ujar Aina sambil menghulurkan sekeping sampul surat kepada Damia. Damia memandang hairan.

"Tolong bagi kat Anuar ya, akak kan sekelas dengan dia" tutur Aina sambil mengelak pandangan Damia.

"Okey, haih nampaknya akak dengan Hisyam jadi pasangan posmenlah ni. Tak pasal-pasal. Hahaha..tapi takpe asal Aina tak payah guna telefon bimbit lagi. Walaupun terpaksa jadi macam zaman dulu-dulu lagi" Damia berpura-pura merungut. Kemudian, dia tertawa sendiri. Mungkin geli hati dengan kata-katanya sendiri. Disimpannya surat itu di dalam poketnya dan segera meminta diri.

Aina tersenyum lebar. Siapa sangka tabiatnya yang suka bertenggek di tepi tingkap menemukan dia dengan seseorang. Lucu pula apabila diingat kembali detik perkenalan mereka. Aina melepaskan keluhan kecil dan melangkah ke jendela berhampiran.


 'Bulan, kau jadi saksi kisah kami. Nua, tunggu Aina lagi 5 tahun ya? Terima kasih Nua kerana telah menggembirakan hari-hari Aina' Aina bermonolog dalam hatinya sambil terus merenung bulan yang bersinar terang pada malam itu.

Komen dan LIKE anda sangat dihargai

0 comments: