Lyeanna Wana Official Blog lyeanna wana: Jendela Hati (Part 3)

Wednesday, 1 April 2015

Jendela Hati (Part 3)

Suasana di dalam dewan besar Dato' Bahaman itu agak bising dengan kehadiran pelajar-pelajar lain yang turut menyertai pementasan teater "Hang Tuah". Aina memerhati sekelilingnya. Dadanya tiba-tiba berdegup kencang. Tidak kelihatan kelibat seorang pun perempuan di situ. Hatinya mula tak keruan. 'Ya Allah, kuatkanlah hati hambaMu ini' doanya dalam hati. 

"Aina!" panggilan daripada seseorang mengejutkan Aina.

"Eh? Kak Mia! Kak Mia buat apa kat sini? Masuk teater juga ke?" lega hati Aina apabila ternampak kelibat Ain Damia, senior tingkatan 5 yang merupakan teman sebiliknya di asrama.

"Yup. Kak Mia masuk juga. Apa pasal tercegat je kat sini? Jomlah sertai mereka kat sana" Damia mengiakan lantas menarik tangan Aina ke arah budak-budak lelaki yang berada di tepi pentas. Dada Aina berdebar sekali lagi. Dia tidak biasa berhadapan dengan senior-senior terutamanya kaum Adam. Keluhan kecil dilepaskan.

"Amir! Hisyam! Mari sini. Apalah korang ni. Langsung tak pedulikan dia. Dari tadi dia tercegat kat depan pintu masuk tu. Nasib baik tak sejuk kat luar. Kalau tak beku dah budak ni" Damia mula membebel kepada dua rakan sekelasnya itu. Siapa yang tak kenal Ain Damia, gadis yang terkenal dengan mulut becoknya. Bahkan guru-guru pun cukup arif dengan sifatnya yang satu ini.

"Aina, perkenalkan ni Hisyam dan Amir. Mereka kawan sekelas akak. Korang, ni Nur Aina dari tingkatan 4 Permata" Damia memperkenalkan mereka berdua kepada Aina yang malu-malu kucing.

Amir dan Hisyam tersengih-sengih seperti kerang busuk. Mereka hanya mampu melambaikan tangan menandakan salam perkenalan kepada Aina. Setelah berborak-borak seketika, perbualan mereka ditamaktkan dengan kehadiran guru yang bakal melatih mereka iaitu Cikgu Azim. Guru kacak ini hanya kacak pada luaran namun sifatnya yang sedikit lembut membuatkan Aina berasa dalam situasi yang selesa sekarang. 'Seronok juga dapat kenal dengan mereka ni' bisik hati kecilnya.

Komen dan LIKE anda sangat dihargai

0 comments: