"Okey semua. Kita berhenti setakat ni saja dulu. Esok, kita jumpa lagi ya. Macam biasa. Lagi satu, Haziqa! Maniskan muka kamu tu. Comel dah cukup, tapi kalau asyik masam mencuka orang nak tengok pun tak selera. Ingat, kita ada seminggu je lagi ni" Cikgu Azim menutup tirai latihan pada petang itu dengan teguran bermakna kepada Haziqa yang membawa watak Puteri Gunung Ledang. Haziqa mencebik tanda protes. Berderai ketawa mereka yang berada di dewan itu dengan perlian Cikgu Azim.
"Haih Nenek Kebayan, senyap saja dari tadi. Tak sihat ke?" tegur Hisyam dengan senyuman nakal. Damia menjeling tajam.
"Kau ni lapar ke? Nak makan ni?" ujar Damia sambil mengacukan buku limanya kepada Hisyam. Hisyam tersengih lagi. Dia meneguk air mineral di dalam botol lalu berlalu ke arah Aina untuk mengusiknya pula.
"Aina ~ Tun Teja kita. Wah wah..makin hebat dia berlakon tadi. Tak nak ajarkan abang ke?" usik Hisyam sambil mengerling ke arah Amir yang menyokongnya dalam diam. Senyuman Aina terus hilang serta merta. Sepantas kilat dia melarikan diri dan menyembunyikan diri di belakang Damia.
"Alah Aina. Kenapa asyik menyorok je dari aku ni. Aku cuma nak berkawan lah. Bukannya nak buat apa-apa kat kau pun" Hisyam memujuk.
"Yalah tu nak berkawan. Kau kalau dengan aku asyik merepek saja. Itulah inilah. Pening kepala aku layan kau" Aina melaung dari belakang Damia sambil menjelir lidah ke arah Hisyam.
"Main jelir-jelir pula dia ni. Tunggu lah kau. Aku balas" giliran Hisyam pula menjelir ke arah Aina. Mengenali Aina membuatkan dirinya berkelakuan seperti anak kecil. Bahkan kenakalannya sekarang semakin menjadi-jadi.
Dari jauh, Haziqa memerhati kelakuan mereka dengan penuh perasaan iri hati. Haziqa yang telah sekian lama meminati Hisyam membenci senario yang baru saja dilihatnya tadi. Hisyam yang sememangnya peramah dan suka bergurau sangat rapat dengan para pelakon teater namun dia langsung tidak pernah bertegur dengan Haziqa. Hal ini menambahkan perasaan sakit hati Haziqa. Justeru, dia selalu tidak dapat fokus kepada latihan yang mereka adakan.
"Aina duduk sini ya. Akak nak berlatih skrip dengan Kak Iqa. Jangan risau, akak ajak Amir dah Hisyam juga. Dah siap nanti kita balik sama-sama ya" dengan lagak seorang ibu, Damia berpesan kepada Aina sebelum berlalu untuk memulakan latihan.
Aina mengangguk laju sambil tersenyum manis. Seketika kemudian, perutnya berkeroncong minta diisi. Perut Aina masih lapar kerana tidak sempat untuk mengambil makanan tengahari gara-gara tertidur setelah balik dari sekolah tadi. Dia menjenguk ke luar tingkap. Warung air batu campur yang terletak di seberang jalan masih dibuka. Air liurnya mulai kecur memikirkan kemanisan air batu campur. Dia segera berlari iuntuk mendapatkan kasutnya yang terletak di tepi pentas.
"Ya Allah, mana pula kasut aku ni" bebel Aina setelah mendapati kasutnya tidak berada di tempat yang diletaknya tadi. Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Setelah mencari seluruh kawasan itu, Aina terduduk kepenatan. Tiba-tiba, dia teringatkan amaran Hisyam. Tapi itu tidak mungkin berlaku.Hisyam sedang berlatih dengan Kak Mia. Aina mengeluh kecil. Sudahlah perutnya lapar, kasutnya pula hilang. Riak muka Aina seperti hendak menangis. Dia sudah tidak tahu apa yang perlu dilakukan lagi. Tiba-tiba sepasang kasut diletakkan dihadapannya. Aina yang hampir menjerit mendongak dengan pantas. Lelaki yang berdiri di hadapannya melemparkan sebuah senyuman.
"Nah" ujar lelaki itu sepatah.
"Jumpa kat mana?" Aina berdiri lalu mengambil kasut yang dihulurkan.
"Tersangkut kat keris Nua tadi. Sorry" ujar lelaki itu sambil tersengih menampakkan barisan giginya yang putih berseri.
"Keris? Mengarut. Kenapa usik sa..aku macam tu. Tak baik" Aina mula memuncungkan bibirnya.
"Aku? Aina muda. Tak boleh cakap macam tu kat senior. Kita tak pernah tegur kan? Anuar Adi. Panggil je Nua." tegur Anuar, ikhlas.
"Sukahatilah nak cakap apa pun. Ya, tahu. Siapa tak kenal Hang Tuah ni." Aina membangkang sambil menjelir lidahnya sekali lagi.
"Eeii, tak senonoh. Macam lidah lawa sangat" ujar Anuar dengan niat untuk menyakitkan hati Aina sekali lagi.
"Memang lawa pun. Jealous lah tu. Dah lah pergi sana. Sibuk je" balas Aina lalu terus melangkah pergi dengan segera untuk melepaskan hajatnya yang tidak kesampaian tadi. 'Tak kuasa nak bertekak dengan orang macam ni,' ngomelnya dalam hati.
Anuar memerhati dengan senyuman lebar. Puas dapat bertegur dengan gadis comel itu. Matanya mengerling ke arah jam tangannya. Sudah jam 6. Dia perlu pulang ke rumah sekarang. Enjin motornya menderum kuat sebelum kelibatnya hilang di sebalik kabus senja.
0 comments:
Post a Comment