“Assalamualaikum! Ashraf! Oh Ashraf!” belum sempat sepatu lusuh Converse kutanggalkan di hadapan pintu, nama Ashraf sudah kupanggil-panggil. Senyap. Tiada bunyi. Tidur ke apa? Aku masuk ke petak bilikku untuk meletakkan beg galas dan segera keluar semula untuk melihat petak bilik Ashraf.
“Astaghfirullahalazim” aku mengurut-urut dadaku sebaik sahaja masuk ke dalam petak bilik Ashraf.
Keadaan biliknya seperti tongkang pecah. Pakaian dan buku bersepah di sana sini. Kelihatan Ashraf tertiarap sendiri di atas katil bujangnya. Tidur? Berangan? Entah. Yang pasti masih belum mati kerana aku masih dapat melihat pergerakan dadanya walaupun tertindih dengan tilam.
“Wei Ashraf. Apahal dengan bilik kau ni? Tak rupa bilik dah aku tengok. Aku tahulah kau anak jantan. Tak berapa reti nak mengemas. Tapi ni dah tahap lubang tikus. Silap hari bulan betul-betul ada tikus kat bilik kau ni” tanpa sedar aku sudah mula berceramah kepada rakanku yang seorang ni.
Perlahan-lahan aku menapak dalam bilik itu, risau kalau-kalau terpijak benda-benda yang berbahaya dan terus menuju ke birai katil Ashraf. Kakiku sibuk menguis-nguis baju yang menghalang laluanku sehingga membentuk seakan-akan denai kecil dari pintu petak bilik ke birai katil Ashraf.
Tubuh yang tidak berbaju dan hanya berseluar pendek itu aku tampar lembut berkali-kali. Tiada respons. Tamparan bertukar tumbukan. Juga tiada respon. Hai budak Ashraf ni dah buat aku cuak. Dari tadi aku mengomel seorang-seorang langsung tak ada apa-apa tindak balas. Ni lagi seorang nak buat aku jadi macam tunggul. Aku bangun dari birai katil itu dan berjalan sehingga aku dapat berdiri jauh sedikit daripadanya.
Gedebuk! Kulit putih Ashraf sudah bertukar menjadi kemerah-merahan.
“Woi! Sakitlah bodoh! Kau apahal?!” anak jantan yang dari tadi diam membisu mula mengeluarkan suara halilintarnya
“Lah, hidup lagi rupanya. Kalau dah mati tadi aku baru ingat nak buat sandbag. Dapatlah peralatan gym free satu kat bilik ni” aku cuba buat-buat tenang sedangkan pedih pinggulku ini tiada siapa yang tahu betapa sakitnya. Namun cuba kutahankan jua kerana aku juga yang berani sangat bertindak menghenyak tubuh Ashraf dengan tubuhku sendiri seolah-olah tubuh Ashraf itu tilam empuk milikku di rumah umi. Akibatnya, aku ditendang ke bawah dan dibelasah dengan bantal penuh peta milik Ashraf ke arahku. Eww, kena samak ni.
“Tak lawak okey, tak lawak. Blah lah weh. Jangan kacau aku. Aku nak baring seorang-seorang” respon yang diberikan tidak begitu memberangsangkan. Bantal yang dibaling dicapai semula dan kembali ke posisi asal. Aik? Ashraf ni dah meroyan ke apa? Perangai macam perempuan. Aku bangkit dari lantai dan duduk semula di birai katil Ashraf.
“Kau apahal Ashraf? Macam orang hilang bini je. Ke hilang Solehah?” soalan yang berbaur gurauan cuba aku selitkan dalam misiku untuk mengorek kebenaran teoriku tadi. Ashraf seakan tersentak. Perlahan-lahan dia memusingkan badan menghadap ke arahku.
“Ameer, orang tu kalau sayang kita…dia..akan tinggalkan kita tak?” seakan tersekat suaranya di kerongkong, perlahan-lahan bibir Ashraf menutur soalan. Aku terkesima. Tekaanku semakin mengena. Debaran kencang di dada cuba ku tahan. Sabar hati, segalanya masih belum pasti.
“Well, depends. Macam tentera. Dia tinggalkan anak bini dia kat rumah bukan sebab dia tak sayang. Tuntutan kerja, kan” aku cuba menjawab dengan muka yang selamba. Seboleh mungkin riak mukaku dikawal agar tidak kelihatan terlalu kaku. Nampak sangatlah nanti yang aku ini sedang berlakon.
Ashraf mengangguk-angguk lesu. Seketika kemudian dia menolak aku dari katilnya sebelum berpaling menghadap dinding.
“Patah pinggul aku ni kau jawab dengan mak aku” bentak aku, bengang. Aku bangkit dari lantai lantas memukul kuat belakang tubuhnya dengan bantal peluk dan segera berlalu dari petak bilik itu. Buat aniaya badan aku je bercakap dengan orang macam ni.
Tilam yang bersarung cadar biru lembut di petak bilikku kukebas-kebas perlahan sebelum melabuhkan punggung di atasnya. Gejolak jiwa yang kutahan dari tadi kembali lagi. Apakah perasaan ini? Terlalu bahagia kerana sang bidadari yang pernah aku dambakan akhirnya bakal menjadi milikku? Atau aku diburu rasa bersalah kerana sudah merebut tunangan orang?
Ah! Takkan umi nak masuk meminang orang yang dah nak kahwin. Aku percayakan umi. Pasti ada punca besar yang menjadi keretakan hubungan atas dasar perjanjian yang telah dimeterai sejak kecil. Tak apa, aku akan bertanyakan hal ini sendiri kepada Solehah. Hmm, bilalah boleh jumpa dia lagi. Aku tersenyum sendiri. Terlukis di awan khayalanku keindahan berumah tangga. Seakan terbayang-bayang lembut tutur Solehah, manis wajahnya, sopan gayanya. Begitu asyik aku dibuai khayalan sehingga akhirnya lena diulit mimpi.