“Hah, awak nak saya hantar dekat mana ini?” Nisreen menyoal sebaik sahaja aku masuk semula ke perut kereta.
“Hantar dekat rumah mak saya, boleh?” balasku
“Beres” dia berkata sepatah.
Laju sahaja kereta Nisreen menyusur jalan raya Kuala Lumpur yang penuh dengan kenderaan pelbagai jenis. Aku mendiamkan diri sahaja. Keletihan mula menjengah otot-otot dan sendi-sendiku. Oh, alangkah indahnya mengulit mimpi di atas tilam Sweet Dreamku yang begitu empuk. Perutku tiba-tiba berkeroncong riang. Apalah agaknya lauk masakan umi hari ini. Oh ya, hampir terlupa! Umi bukan tahu bahawa aku dalam perjalanan ke rumahnya. Segera aku menyeluk ke dasar kocek seluarku untuk mengeluarkan telefon bimbit. Mesej dihantar. Aku tersenyum puas. ‘Malam ni, aku akan berlingkar di atas katil bagaikan ular sawa kekenyangan’. Senyumanku melebar dek bahagia yang teramat.
“Nombor berapa rumah awak ini?” soal Nisreen sebaik sahaja memasuki suatu lorong yang penuh dengan deretan banglo di kiri dan kanan jalan.
“No 7, tu yang warna peach tu” aku menunjukkan arah.
“Okey, dah sampai. RM 83.75 je, encik” Nisreen memberhentikan kereta lalu terus menghulurkan tangannya.
“Ish, tak malu minta duit. Nah, ambil ini. Terima kasih banyak!” aku menghulur duit lima sen empat keping dan meletakkannya di atas dashboard kereta.
“Mana cukup encik. Apalah encik ini, tak apalah saya balik dulu” Nisreen memuncungkan mulutnya sambil menahan gelak.
Aku tersenyum kembali serta mengutip semula syiling yang bertaburan di atas dashboard kereta Nisreen itu.
“Terima kasih sekali lagi ya. Susah-susah saja” ujarku sejurus keluar dari perut kereta.
Nisreen mengangguk dan mengangkat tangannya pengganti salam. Dengan perlahan sport Lamboghini itu bergerak meninggalkan aku sendirian di luar rumah.
“Assalamualaikum! Umi! Umi!” laungku dari luar pagar. Seketika kemudian, kedengaran pintu utama dibuka. Susuk tubuh kecil ibuku mampu dikesan walaupun dalam samar cahaya malap lampu luar. Aku menyeringai kegembiraan.
“Ameer! Waalaikumussalam. Hai, balik dengan apa ni? Dah makan belum?” bertubi-tubi soalan ditembak daripada M16 mugil umi. Hai, kecil-kecil umi jangan bawa main. Mulutnya boleh tahan juga lajunya. Boleh jadi penyanyi rap gamaknya.
“Kok ya pun bukalah pagar ni dulu umi. Tak hilang lagi penat melaung panggil umi tadi. Dibuatnya anjing Uncle Leong terlepas mahu tak menangis Ameer kena gonggong nanti” ujarku, cuba untuk mengusik ibu kesayanganku itu.
“Alahai yalah. Anak umi ini balik banyak pula idea nak mengenakan umi, ya?” ujar umi lalu menghulurkan tangan sebaik sahaja pintu pagar dibuka.
Aku tersengih seperti kerang busuk lalu menyambut tangan lembut itu dan menciumnya.
“Eh umi, ada bau sambal tumis kat tangan umi. Ha, umi masak apa hari ini?” aku mengusik umiku lagi. Dan balasan yang aku dapat kali ini bukan hanya bebelan, namun satu cubitan secukup rasa turut menjengah rusukku. Aku menggeliat kesakitan.
“Jom masuk. Nanti umi tinggal sorang-sorang kena gonggong dengan anjing Uncle Leong betul-betul baru tahu” umi mempelawa masuk dalam masa yang sama turut mengugut.
Aku menurut. Sememangnya aku tidak mampu menahan rasa laparku lagi. Setelah mencampakkan beg di bilik, kakiku deras mengatur langkah menuruni anak tangga dan terus menuju ke dapur.
“Umi, anak umi lagi seorang tu mana?” mataku melilau mencari Naqib Al-Arif, satu-satunya saudara kandung yang aku miliki di dunia ini sambil mencedok nasi ke dalam pinggan.
“Dia tak balik 2 hari dah. Buat assignment katanya. Tidur di rumah kawan” dengan tenang umi menjawab. Ish ish umi ini. Sewaktu aku buat keputusan untuk menyewa rumah dahulu, bukan main bising lagi. Katanya aku tak boleh berengganglah, nanti aku kurus gara-gara dah tak boleh makan masakannya setiap hari lagilah. Macam-macam alasan dikeluarkan untuk menghalang aku meneruskan niatku. Hatta ke mana-mana setiap petang pun harus dimaklumkan kepadanya.
“Apasal budak Naqib tu lepas pula dari bawah ketiak umi. Ameer dulu…”
“Ameer, anak umi dua orang ni lainlah. Naqib dah biasa bawa diri daripada kecil. Mungkin sebab dari kecil dia tak pernah jumpa abah. Jadi dia tak adalah manja sangat” Umi memotong percakapanku.
“Dahtu umi nak cakap Ameer manjalah?” aku mencebik.
“Memang pun. Dah besar gajah pun merengek telefon umi suruh masak hujung minggu. Tak malu” Umi membidasku dengan kata-katanya. Ergh, panas pula telinga aku mendengarnya.
“Umi ni suka je bangkang Ameer, macam kawan Ameer lagi sorang tu. Ada saja akal nak membidas orang. Sakit hati dibuatnya” fikiranku menerawang teringatkan kenangan sepanjang pergaduhan aku dan Nisreen sebelum kami berbaik-baik. Tersengih sendirian dibuatnya aku dengan kenangan-kenangan itu.
“Ai, sakit hati kat umi juga ke? Pula tu, sempat dia mengelamun depan rezeki. Ingat siapa?” umi mematikan lamunanku.
“Tak adalah umi, Ameer gurau je. Mana ada mengelamun. Cuma teringat budak yang suka bidas Ameer tulah. Macam umi. Kalau umi dengan dia jumpa, memang sah habislah Ameer jawabnya” ujarku sambil menunjukkan isyarat memotong leher.
Umi tergelak dengan kata-kataku. Aku turut tersenyum sambil meneruskan suapanku.
“Suka Umi tengok Ameer makan. Semangat” kata Umi setelah sepi yang lama.
“Ish, Umi ni ada tengok Ameer makan. Tapi memang Ameer semangat pun makan masakan Umi ni. Sedap” aku memuji. Sambal yang tersisa di jari ku habiskan mengikut sunnah.
“Sebab tulah Ameer kena cari isteri cepat-cepat. Kan senang kalau ada orang boleh masak untuk Ameer hari-hari. Tak payahlah mengidam masakan Umi lagi” perbualan Umi mula memesong. Aku tersenyum.
“Umi carilah” ujarku.
“Okay” Umi menjawab sepatah. Aku tergelak sendirian. Umi, Umi.
0 comments:
Post a Comment