Hari ketiga dan keempat, kami meneruskan photoshoot di hutan sekitar Brinchang dan beberapa tempat yang telah dipilih dan dirasakan sesuai untuk sesi fotografi. Ternyata, gambar-gambar yang diperoleh lebih baik daripada sesi yang pertama. Gambar-gambar yang keluar sangat meyakinkan. Aku bersyukur kerana usaha kali ini sungguh menjadi. Alhamdulillah..
Esok kami bakal berangkat pulang ke Kuala Lumpur. Seperti hari-hari yang lalu, makan malam kami dimasak istimewa oleh Makcik Ina dan anak gadisnya. Kami semua begitu senang bertandang ke rumah Makcik Ina bahkan Makcik Ina sendiri amat mengalu-alukan kedatangan kami. Tetapi, yang paling teruja sekali semestinya Nisreen kerana dia begitu menggemari bunga-bunga di kebun Makcik Ina. Sudah beberapa kali aku berhasil mengintai perlakuannya di kebun itu. Namun wajahnya tenang dan menawan dengan senyuman, tidak seperti pertama kali aku melihatnya sewaktu senja tempoh hari. Hatiku meronta-ronta inginkan kepastian lagi. Aku perlukan jawapan.
“Abang Ashraf! Kak Solehah!” teriakan Mawaddah dari arah dapur mengejutkan seisi rumah. Kami segera bergegas untuk mengetahui apa sebenarnya yang telah berlaku.
“Ya Allah, Solehah! Kenapa dengan Solehah ni, Mawaddah?” Ashraf segera menerpa ke arah Solehah yang sedang terkulai layu di lantai dapur.
“Kami tengah goreng ayam tadi. Kak Solehah ada mengadu kepala dia sakit tapi lepastu terus dia pengsan” Mawaddah bercerita diselangi sendu.
“Nurin, Mawaddah. Tolong angkat Solehah masuk dalam bilik. Ashraf, tolong ambilkan air kat sinki tu. Makcik rasa dia ni kurang tenaga. Badannya tak panas sangat” arah Makcik Ina. Masing-masing panik dan kelam-kabut melaksanakan arahan Makcik Ina. Aku dan Nisreen saling berpandangan. Nisreen mencapai sebatang pen dan sehelai kertas lalu mencatat sesuatu.
Awak tunggu kat depan. Solehah sedar nanti saya panggil
Aku mengangguk dan keluar dari dapur. Sendirian tanpa melakukan apa-apa langsung tidak menyenangkan aku. Lima minit kemudian kedengaran suara Nisreen memanggil aku. Segera aku melangkah ke bilik untuk mengetahui keadaan Solehah.
“Kan makcik dah cakap. Solehah ni kurang tenaga. Tengok bibir tu, pucat semacam. Meredah hutan tak ingat makan” Makcik Ina memulakan ceramahnya. Ya, aku mengaku kami memang terlupa bab makan sebaik sahaja memulakan kerja.
“Kakak boleh bangun tak ni?” Mawaddah menyoal sambil tangannya memerah tuala dan meletakkannya ke atas dahi Solehah.
“Tak payahlah nak bangun. Kita cancel balik esok. Boleh Ameer?” Ahraf menyampuk. Suaranya bergetar. Aku tahu dia sedang susah hati.
“Tapikan bang, Nurin ada temuduga esok kat KL. Nurin ingat nak tumpang sekali. Baru nak cakap malam ni” Nurin berkata dalam nada perlahan. Mesti dia serba salah dengan keadaan sekarang.
“Tak apalah. Ashraf dengan Mawaddah boleh tinggal kat sini. Nisreen boleh tolong hantarkan Nurin. Lagipun Nisreen sebenarnya ada hal malam esok. Tak boleh tangguh” Nisreen menawarkan diri. Kami semua bersetuju dengan cadangannya itu.
Malam itu, Nisreen membawa Mawaddah pulang seketika ke bilik untuk mengemaskan barang-barang sementara Nurin dibawa untuk menemaninya di hotel. Aku bersendirian di bilik tanpa Ashraf. Keikhlasannya dalam perhubungan dia dan Solehah begitu mengagumkan. Namun hatiku langsung tidak bimbang dengan keadaan yang berlaku tadi. Aku masih mencari jawapan dalam diri Nisreen. Aku mungkin ada peluang esok.
0 comments:
Post a Comment