Aku menyelak-nyelak helaian majalah yang terdapat di atas meja. Sesekali aku mengusap janggut yang tak berapa nak tumbuh. Tiada yang menarik untuk dibaca. Bosan! Jam tangan Omega di tangan dikerling sepintas lalu. Kelibat yang ditunggu-tunggu masih belum tiba jua. Aku mengeluarkan telefon bimbit dari poket seluar lalu membaca pesanan-pesanan ringkas antaraku dan si gadis malam tadi. Kami sudah berjanji ingin bertemu di restoran berhadapan dengan kampus UIA tapi sehingga sekarang aku masih termanggu-manggu sendirian.
Lima belas minit berlalu. Tak boleh jadi. Ingat aku tunggul? Beg galasku kurentap kasar. Berkecamuk perasaan dalam hatiku sekarang. Boleh pula dia buat main-main dengan aku. Perasaanku yang pada mulanya teruja bercampur gemuruh kerana bakal merungkai misteri bakal isteriku bertukar menjadi geram dan kesal. Janji dicapati! Kecewa dalam diri hanya Allah saja yang tahu. Kempunan tak usah cakaplah. Argh!!
“Assalamualaikum” baru saja kaki mahu melangkah pergi, satu suara lembut menegurku dari belakang. Langkahku mati secara automatik.
“Waalaiku…mus…sa..lam. Err Nis…reen?” terkedu sebentar aku apabila melihat sebatang tubuh yang berbaju kurung merah jambu lembut sebaik sahaja aku berpaling ke arah datangnya suara itu.
Si dara berkulit kuning langsat itu tampak manis dengan penampilan barunya yang bertudung labuh. Sekuntum senyuman yang dilemparkan menyedarkan aku. Ya Allah cantiknya makhlukmu yang seorang ini. Lama sudah tidak bertemu, lain benar kini penampilannya. ‘Manis’ bisik hati kecilku. Eh, baru perasan aku ternganga tadi. Malunya! Gadis itu tersenyum tatkala namanya disebut, tanda mengiyakan figura di depan mata aku ini bukan bayangan tetapi realiti dirinya yang sebenar.
“Erm, err, eh duduklah. Sila” aku yang seakan hilang ingatan cepat-cepat menyembunyikan rasa malu kerana ternganga tadi dengan mengarahkan tangan ke arah bangku yang berada di hadapanku.
“Lama tak nampak awak. Pergi mana?” Aku memulakan perbualan. Entah kenapa begitu kekok rasanya situasi kami sekarang. Padahal dahulu bukan main mesra di Cameron Highland. Walaupun perkenalan yang disemai sedikit sumbing pada awalnya.
“Ada urusan sikit di Indonesia. Ni pun balik atas urusan keluarga” singkat dan padat jawapan Nisreen. Tak perlu aku bertanya banyak soalan kepadanya lagi. Jimat masa, jimat air liur.
“Ameer, erm…sebenarnya saya datang ni bagi pihak Solehah. Dia minta maaf sangat dia tak dapat datang. Dia kena balik ke rumah mak ayah dia. Pun sebab urusan keluarga. Jadi dia minta tolong saya yang kebetulan lapang ni untuk take note apa-apa pesanan penting daripada awak” belum sempat aku merangka soalan, Nisreen sudah menyusun kata. Aku terdiam. Oh, patutlah dia tak datang. Tapi dia boleh je kan SMS aku dulu? Kenapa kena susah-susah hantar Nisreen ke sini?
“Lagi satu, handphone dia rosak. Tiba-tiba buat hal pagi tadi. Dia telefon saya pun pinjamhandphone Nurin” seakan mampu membaca fikiranku, Nisreen menjawab persoalan-persoalan yang berada dalam benak fikiranku.
“Oh, tak apalah kalau begitu. Tak ada rezekilah saya nak tanya sesuatu kat dia. Tak apalah Nisreen. Saya rasa baik saya berurusan terus dengan Solehah sebab hal yang saya nak tanya ni peribadi sangat” ujarku sambil mengukir senyuman. Cuba meminta untuk difahami.
Riak wajah Nisreen berubah sedikit namun dia kembali tersenyum sambil mengangguk-angguk kecil beberapa kali tanda mengerti.
“Eh, awak cakap dia pinjam handphone Nurin? Besar sangat ke urusan keluarga sampai Nurin ada kat rumah dia sekali?” secara tiba-tiba idea untuk memasang jerat menjengah. Tak perlu untukku bertanya terus. Sekadar sedikit petunjuk pun sudah cukup daripada tiada apa-apa untuk hari ini.
“Hurm, agaklah besar. Pasal masa depan Solehah juga. Lagipun mak Solehah cuma dua beradik. Tak peliklah kalau Nurin ada sekali” jawab Nisreen tanpa teragak-agak.
Jantungku seakan berhenti seketika. Tekaanku hampir mengena. Namun aku masih perlu mengambil langkah berhati-hati. Ini bukan soal jodoh aku seorang. Kalau benarlah tekaanku bahawa umi sebenarnya telah meminang Solehah untukku, soal jodoh Ashraf juga tidak terkecuali.
“Okeylah Nisreen. Saya rasa tak ada apa-apa dah kot. Saya nak beransur ni. Ada perjumpaan dengan kumpulan usrah pukul 5 ni. Terima kasih ya sudi datang semata-mata nak bagitahu saya. Saya beransur dulu. Assalamualaikum..” seakan tersentak dengan ingatanku terhadap rakan baikku itu, aku segera mengangkat punggung dan tergesa-gesa untuk segera berlalu pergi.
“Oh okey. It’s okay, no big deal. Waalaikumussalam” sekuntum lagi senyuman dihadiahkan sebelum aku dan Nisreen membawa haluan masing-masing.
0 comments:
Post a Comment