Sudah
sebulan aku sibuk dengan final exam yang bakal tiba tidak lama lagi. Masaku
penuh diisi dengan kuliah, kumpulan belajar, usrah sekali seminggu dan
ceramah-ceramah agama. Aku mengeluh
berat. Ku raba Al-Quran kecil di poket bajuku. Biasanya selepas Subuh Al-Quran
itu pasti dibaca sehelai dua sebelum memulakan hari. Entah mengapa mataku berat
benar pagi tadi. Selesai solat Subuh, terus aku rebah di atas sejadah.
Mengantuknya ya Allah. Mungkin tubuhku sudah mencapai tahap optimum. Kelopak
mata ini sudah tidak larat lagi untuk dibuka. Sekitar jam 9 barulah aku
terbangun dan segera ke perpustakaan untuk mengulangkaji pelajaran. Aku
mendepangkan tangan dan menggeliat. Aku pandang manusia-manusia yang sedang
khusyuk menelaah buku-buku di perpustakaan ini. Alangkah kerdilnya diriku
melihat manusia-manusia ini berlumba-lumba menimba ilmu. Semangatku cuba
dikuatkan semula. Ya Allah, permudahkanlah urusan hamba-Mu ini…
“Kanda...kanda…” lembut suara sang bidadari
memanngil namaku sambil membelai-belai lembut wajahku.
“Ya,
sayang. Ada apa?” Aku menyahut dengan senyuman.
“Kanda
sayangkan dinda?” soalnya.
“Semestinya.
Tak perlu dipersoalkan lagi” Aku menjawab dengan bangga lalu mengangkat
tanganku, cuba mencapai rambutnya yang panjang mengurai.
“Justeru
mengapa didambakan mawar dalam taman orang?! Sedang mawarmu ini sudah lama
menepis kumbang semata untuk dipetik kanda!” tiba-tiba bengis suara bidadariku
itu menyoal. Tanganku ditepis kasar.
Turun naik nafasnya menahan amarah.
Aku
bangkit dari ribaannya. Aku tatap wajahnya yang bercahaya. Dahiku
berkerut-kerut cuba menggali maksud kata-kata kerasnya.
“Ameer!
Woi, bangunlah!” sergah Ashraf sambil memukul kuat lenganku. Terpisat-pisat aku
bangun dari tidur siangku. Ku toleh kiri dan kananku. Perpustakaan itu sudah
lengang. Beransur-ansur manusia meninggalkan gedung ilmu itu. Aku kerling jam
di pergelangan tanganku. Sudah hampir masuk waktu Zohor. Allah, agaknya berapa
lamalah aku tidur. Berapa sangat pulalah ilmu yang dapat ku imbas semula
harini. Aku meraup mukaku dan membetulkan rambutku. Ku cari pula wajah kurang
asam yang menyergahku dari tidur. Dibuatnya roh aku tak sempat masuk dalam
jasad, ada meninggal aku di sini. Hisy!
“Apa
benda kau terkebil-kebil lagi tu? Jom, Zohor. Lepastu makan” dia menepuk pula
belakangku dengan agak keras. Hei, manusia ni memang cari nahas. Aku menoleh. Seperti
yang diduga, Ashraf sedang tersengih-sengih melihatku. Kalau tidak memikirkan
makhluk Allah di sebelahku ini rakan susah senangku, sudah ku ajar dia
menggunakan ilmu silat gayung yang kutuntut dari datukku sejak aku berumur 6
tahun lagi. Sabar jelah.
“Kau
ni dah kenapa, Ameer? Termenung dari tadi. Ada mimpi buruk ke?” Soal Ashraf
yang gusar melihat aku lambat-lambat menyuap nasi ke dalam mulut.
“Hmm…lebih
kuranglah. Tapi mimpi itu kan mainan tidur. Aku tak nak percaya sangat tapi…ada
ayat dalam mimpi tu betul-betul kacau perasaan aku. Macam ada maksudnya. Bukan
saja-saja” terus terang aku menyatakan masalah yang membelenggu fikiranku.
Risau juga sekiranya tidak diatasi segera mampu mengganggu tumpuanku terhadap
pelajaran.
“Macam
pernah aku alami. Dulu, aku kan nakal. Hari-hari kalau tak tengok mak aku
menangis memang tak sah. Tapi satu hari aku mimpi aku nampak seorang lelaki
bagi minuman dan makanan kepada seorang perempuan cantik yang sihat wal afiat.
Sedangkan di sebelah perempuan tu ada seorang lagi perempuan yang uzur dan
lemah. Aku pelik so aku tanya kenapa tak ditolongnya perempuan tua tu. Lelaki
tu jawab, perkara yang sama aku dah
lakukan selama aku hidup. Bangun tidur, barulah aku tahu. Selama ni aku buat
baik pada makcik-makcik aku, nenek aku dan semua perempuan yang aku kenal sedangkan
mak aku sendiri aku sakiti” cerita Ashraf. Kelihatan cecair jernih bertakung di
tebing matanya. Segera dikesat agar tidak jatuh air muka jantannya di
hadapanku.
Aku
mengangguk-angguk. Ada benarnya mimpi itu. Biarpun itu cuma mimpi, aku tidak
seharusnya meringan-ringankan mimpi itu. Azam ditanam. Rahsia mimpi bakal ku
ungkap nanti.
0 comments:
Post a Comment